Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi penanda aras bagi menguji pemahaman murid sepanjang enam tahun di sekolah rendah.
Biarpun UPSR dianggap tidak sepenting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keutamaan terhadap peperiksaan itu tidak boleh diketepikan kerana ia antara peluang murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh.
Bagi calon pula, menjawab kertas peperiksaan cukup mencabar walaupun persediaan sudah dibuat.
Ada yang sudah bersedia sepenuhnya, ada sudah bersedia tapi gugup pada saat akhir. Malah, ada yang mungkin bersikap tidak acuh.
Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor Mohd Hafiz Musa menasihatkan calon agar bertenang dan jangan gelabah bagi memastikan kelancaran menjawab soalan di dewan peperiksaan.
Menurutnya, calon UPSR tidak perlu tertekan sehingga langsung tidak dapat menjawab soalan.
「Saya tahu semua calon pasti gemuruh tapi bertenanglah. Tarik nafas panjang panjang dan jangan gelabah. Ini bukan saja dapat menenangkan diri, malah membantu melancarkan proses menjawab soalan.
「Sangat bahaya jika calon tertekan kerana mereka boleh hilang fokus, sekali gus menyebabkan gagal menjawab soalan,」 katanya.
Menurutnya, sama ada membuat persediaan awal atau saat akhir, apa perlu dilakukan calon ialah menjawab soalan dengan tenang.
「Dalam keadaan tenang calon boleh membaca soalan dengan teliti, memahaminya sekali gus menyumbang kepada jawapan dikehendaki soalan.
「Jika calon tergopoh-gapah tidak mustahil mereka akan kelam-kabut dan akhirnya menjejaskan tumpuan,」 katanya.
UPSR 2016 terdiri daripada ujian bertulis bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil antara lain bertujuan mentaksir pencapaian akademik murid.
Berikut beberapa panduan diberikan Mohd Hafiz kepada calon UPSR:
1. Hindari menyebut perkataan susah.
2. Jangan bincang kertas soalan yang sudah dijawab bersama rakan, sebaliknya fokus pada kertas akan datang.
3. Elak terlebih tidur atau termenung panjang.
Beliau turut berpesan kepada ibu bapa supaya cuba memahami tekanan dihadapi anak mereka. Ini kerana ada ibu bapa terlalu memberi tekanan sehingga emosi anak mereka terganggu.
「Ibu bapa perlu menjadi pendorong dengan berusaha meningkatkan keyakinan mereka dan sentiasa memberikan kata-kata positif.
「Jangan beri tekanan seperti ugutan atau meletakkan sasaran keputusan anak. Biarlah anak jawab peperiksaan mengikut cara dan kemampuan mereka tanpa campur tangan ibu bapa,」 katanya.
Mohd Hafiz turut mengingatkan ibu bapa supaya jangan memperlekehkan kemampuan anak andai keputusan UPSR mereka tidak memberangsangkan.
「UPSR bukan satu-satunya pengukur kejayaan hidup seseorang. Jangan putus asa, sebaliknya bantu mereka menerima kenyataan dengan hati terbuka.
「Kegagalan memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR bukan bermakna masa depan mereka gelap,」 katanya.
Sementara itu, seorang ibu kepada calon UPSR Norzean Ali, 37, menyusun jadual waktu seimbang bagi memastikan tumpuan anaknya, Faris Aazim Mohd Safuan tidak hanya terarah kepada akademik, malah aspek kesihatan.
「Pelajaran penting tapi kesihatan serta kecergasan fizikal juga perlu seiring. Pada hujung minggu saya akan pastikan anak beriadah dan bermain.
「Ini disebabkan pada hari biasa jadualnya penuh dengan waktu belajar kerana di sekolahnya, SK Puchong Indah ada kelas tambahan, manakala petang dia ke sekolah agama pula.
「Selepas solat Maghrib, saya akan pastikan dia menyiapkan kerja sekolah, mengaji al-Quran dan terus tidur kerana mahu dia mendapat rehat secukupnya,」 katanya.
Bagi Norfazilah Jusoh, 37, pula, walaupun sibuk dengan perniagaan, dia tidak mengabaikan tugas sebagai ibu, malah memberi lebih tumpuan kepada anaknya, Muhammmad Fitri Mohd Azmanizam yang menduduki UPSR.
「Berbeza dengan abang dan kakaknya, dia memerlukan perhatian lebih dan pemantauan. Justeru, saya sentiasa memeriksa kerja sekolah dan memberikan latihan tubi.
「Dua bulan sebelum UPSR, saya pulang awal bagi memastikan dia menyiapkan semua kerja sekolah dan pada malam bersamanya menyiapkan latihan tubi.
「Walaupun di sekolahnya, SK Puchong Perdana ada kelas tambahan, saya tetap menghantarnya ke kelas tambahan luar. Saya yakin persediaan akademiknya sudah mencukupi.
「Saya tak memaksa atau mengharapkan keputusan cemerlang, hanya mahu dia lakukan yang terbaik.
「Saya bercadang hantarnya ke sekolah tahfiz kerana dia menunjukkan minat,」 katanya.