Beliau menunjukkan sikap cakna terhadap isu ini apabila menegur pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) yang melebih-lebihkan majlis berkenaan sehingga membebankan guru dan ibu bapa.
Walaupun niat penganjuran majlis itu adalah baik iaitu untuk memberi pengalaman seumpama istiadat konvokesyen universiti bagi menaikkan semangat anak-anak murid, namun tidak menghalalkan cara majlis itu diadakan di dewan mewah dengan kos tambahan yang membawa ke tahap membazir.
Tidak terhenti setakat teguran itu, Mahdzir dalam akaun Facebook miliknya menyentuh pula mengenai majlis khas untuk meraikan pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjadi trend selama ini.
Sambil memuat naik petikan kolum Anjakan Minda yang juga disiarkan Utusan Online, beliau bersetuju dengan pendapat penulisnya bahawa:
「Sempena keputusan UPSR yang bakal diumumkan pada 23 November 2017, janganlah dibebani kudrat guru dan perasaan murid dengan meraikan murid yang mendapat 6A sahaja.
Tidak perlu guru bertungkus-lumus mengadakan majlis khas mengumumkan beberapa murid yang cemerlang akademiknya untuk naik ke pentas sedangkan ratusan calon UPSR lain hanya memerhatikan sahaja rakan yang diraikan dengan perasaan seperti diri mereka tidak berharga. UPSR hanyalah langkah pertama dalam pengembaraan hidup mereka sebagai insan yang syumul – teruskan meneroka dunia!」
Seperti yang penulis duga, rentetan daripada keprihatinan beliau terhadap isu 「majlis graduasi sekolah」 yang kini tular di media sosial, hari keputusan UPSR pada Khamis ini, buat julung-julung kalinya tidak ada 「majlis khas」 mengumumkan pelajar cemerlang seperti tahun-tahun sebelumnya.
Difahamkan memo pekeliling mengenainya sudah pun diedarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah seluruh negara.
Jika semua pihak terlibat menyambut 『arahan』 Kementerian Pendidikan itu, ini bermakna tidak akan ada 『upacara』 memegang pelekat tertera tulisan besar 『6A』 『5A』 seperti yang kita lihat terpampang di dada media seperti yang sudah-sudah, tidak ada juga upacara penyampaian selempang untuk pelajar yang mengaut paling banyak A, bahkan tidak ada 『countdown』 penyampaian slip UPSR daripada 6A hinggalah ke 1A.
Ada yang memberi komen; 「Tak meriahlah macam tu.」
Penulis anggap pelontarnya hanya bergurau. Tidak mungkin dia tidak memahami alasan di sebalik keputusan yang dibuat oleh kementerian itu. Apa pentingnya 『majlis khas』 yang gah? Tidakkah kita juga sebelum ini yang mahukan fokus penilaian sekolah bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata?
Penulis teringat ucapan seorang pegawai pendidikan dalam satu majlis graduasi sekolah baru-baru ini. Antara lain beliau mengingatkan warga pendidik dan ibu bapa agar janganlah hanya meraikan segelintir murid cemerlang akademik dan mengabaikan perasaan majoriti lain yang tidak mendapat keputusan baik. Bukan anak yang pandai dalam pelajaran sahaja yang layak disayangi. Anak yang tangkas dalam sukan, berdisiplin, cergas dalam bilik darjah walaupun keputusan ujiannya ala kadar, juga layak diberi penilaian yang baik.
Penulis tertarik dengan analogi dalam satu tangan pun bukan semua jari sama. Ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang panjang dan ada yang pendek.
Sedangkan dalam kalangan adik beradik pun ada yang bijak dan ada yang biasa-biasa, begitu jugalah keupayaan murid berbeza antara satu dengan yang lain dalam satu kelas apatah lagi satu sekolah yang murid tahun enam sahaja mencecah ratusan orang.
Murid di kelas atas mungkin belajar satu dua jam pun sudah boleh menjawab soalan peperiksaan dengan lancar, tetapi murid di kelas bawah walau belajar seharian belum tentu dapat melakukannya.
Namun tidak cemerlang pelajaran tidak bermakna tidak cemerlang semua, mungkin sahaja murid ini ada kelebihan dalam bidang lain. Boleh jadi dia pelari pecut paling laju sehingga boleh mewakili sekolah, atau pemain bola sepak paling ligat di padang sehingga mewakili daerah.
Yang tidak aktif sukan pula, mungkin cemerlang dalam bidang seni visual, tari atau muzik.
Masing-masing ada bakat dan kelebihan tersendiri, yang tidak menjadikan mereka lebih rendah kedudukannya daripada murid lain. Malah murid yang tidak mencatat sebarang pencapaian dalam bidang akademik, sukan, mahupun kokurikulum pun masih boleh dibanggakan jika dia antara murid paling baik dari segi sahsiah, tidak pernah ponteng sekolah dan sentiasa menyiapkan kerja rumah misalnya.
Justeru, penulis amat mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan untuk tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada keputusan peperiksaan dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bermula dengan UPSR pada Khamis ini.
Di sekolah anak penulis pun sudah diedarkan pemberitahuan kepada ibu bapa bahawa hari keputusan UPSR esok, hanya akan melibatkan penyerahan slip peperiksaan itu oleh guru penyelaras. Tidak ada majlis penyampaian slip UPSR dan pengumuman murid cemerlang seperti yang sudah-sudah.
Makluman tersebut disambut baik oleh rata-rata ibu bapa yang menyifatkannya sebagai langkah tepat dan bijaksana. Malah ada yang berkongsi pengalaman lepas bagaimana sayu perasaan melihat anak sendiri, anak jiran mahupun kawan anak yang terkulat-kulat melihat satu demi satu murid cemerlang menaiki pentas, sedangkan nama sendiri tidak dipanggil. Bayangkan perasaan mereka.
Ada juga yang bercerita bagaimana mereka terpaksa menenangkan anak-anak yang tidak mampu menahan esak tangis apabila 『gagal』 mendapat 5A.
Nukilan seorang bapa, tentang pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana keterujaan anaknya menunggu keputusan UPSR sebelum ini bertukar hiba sehingga ego lelakinya untuk tidak menitiskan air mata kecundang, turut tular di media sosial. Antaranya dia menulis:
「Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Nukilan:
Ammar Kamilin
Tidak kuat melihat anak-anak berduka.
Penulis sentiasa percaya akan peranan sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan sahsiah anak-anak.
Guru-guru pula bagi penulis adalah contoh teladan terbaik yang kata-kata mereka kadang kala lebih didengari oleh anak-anak melebihi ibu bapa sendiri.
Khamis ini, penulis cukup percaya para guru akan dapat memainkan sepenuhnya peranan mereka sebagai pendidik dan pembimbing, anak-anak murid yang mengambil keputusan UPSR 2017.
Tidak seperti tahun-tahun sudah apabila mereka agak sibuk melayan VIP di atas pentas dan menguruskan murid-murid cemerlang untuk naik ke pentas, guru-guru akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua anak murid tahun enam ini ketika menyerahkan sendiri keputusan peperiksaan kepada mereka.
Bukan hanya anak-anak yang cemerlang akan ditepuk bahunya, bahkan anak-anak yang mendapat keputusan kurang baik pun akan diusap belakang mereka agar tabah menerima slip UPSR masing-masing.
Yang pasti, anak-anak ini perlu disedarkan UPSR bukan pengakhiran, sebaliknya satu permulaan perjalanan mereka yang masih panjang dalam menuntut ilmu. Nama pun 『pencapaian sekolah rendah』. Masih banyak lagi fasa yang akan ditempuhi.
Kepada ibu bapa, dakaplah anak-anak walau apa pun keputusan di tangan mereka.
Yang pasti, Januari ini mereka akan kembali ke tahap satu, kali ini di peringkat menengah pula.
Ucapkan selamat tinggal kepada sekolah rendah! Melangkahlah dengan penuh semangat ke tingkatan satu!