PUTRAJAYA: Penekanan kepada penguasaan pelbagai bahasa terutama bahasa Melayu dan Inggeris diutamakan dalam pendidikan negara selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Kementerian Pendidikan yakin penguasaan yang baik dalam pelbagai bahasa itu berupaya meningkatkan kebolehpasaran murid sekali gus membuka peluang kerjaya di dalam atau luar negara.
Justeru, penerokaan ilmu dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik antara fokus Kementerian Pendidikan pada masa ini bagi memastikan murid mampu berdaya saing di rantau ini malah pada peringkat global.
Lapan strategi
Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum Kementerian Pendidikan, Noraziah Ahmad Ghazali, berkata selaras matlamat itu, kementerian kini giat melaksanakan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dengan menggariskan lapan strategi supaya murid bukan saja menguasai di bilik darjah tetapi mampu memanfaatkannya dengan dunia luar.
“Menerusi dasar ini, ada dua jawatankuasa di bawah kementerian iaitu satu memartabatkan bahasa Melayu, manakala satu lagi memperkukuhkan bahasa Inggeris.
“Ahli jawatankuasa ini mengatur dan merancang strategi iaitu satu daripadanya memartabatkan bahasa Melayu dan Inggeris melalui banyak aspek, termasuk kurikulum, guru, penggunaan bahan, aktiviti luar bilik darjah dan sebagainya.
“Satu lagi jawatankuasa diwujudkan untuk memayungi 18 sektor agensi untuk menyemarakkan pelaksanaan bahasa kebangsaan pada peringkat agensi masing-masing, termasuk melaksanakan pelbagai aktiviti,” katanya.
Mengambil contoh lain seperti sektor pendidikan, agensi ini mewujudkan kerjasama penyelidikan dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta pelaksanaan aktiviti berterusan
seperti mengeluarkan garis panduan dan syor dalam membincangkan hal berkaitan pendidikan.
“Ahli jawatankuasa, termasuk tokoh bahasa melihat mengapa ada satu instrumen untuk menilai tahap kompetensi guru mengajar bahasa Inggeris di sekolah kerajaan tetapi kenapa tidak ada satu instrumen menguji bagaimana kompetensi guru bahasa Melayu mengajar di sekolah?
“Adakah semua guru bahasa Melayu mencapai kompetensi bahasa yang sepatutnya dalam mengajar bahasa Melayu maka hasil perbincangan timbul syor mewujudkan satu ujian kecekapan guru bagi melihat tahap kelayakan mereka.
Prestasi memberangsangkan
“Atas matlamat dasar MBMMBI, ujian kecekapan bahasa Melayu (UKBM) dirintis kepada guru tahun ini dan menunjukkan prestasi memberangsangkan bukan saja aspek kemahiran berbahasa tetapi pedagogi guru,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sebagai kemuncaknya setiap jawatankuasa kecil di bawah MBMMBI akan melaksanakan aktiviti meraikan acara tahunan iaitu sambutan bulan kebangsaan pada peringkat sektor masing-masing seperti pidato, sajak, pantun kreatif, permainan sahiba, forum, bicarawara, pantas jawi, permainan bahasa, sketsa, montaj dan kuiz.
“Kita minta sektor berkenaan jalankan peranan masing-masing untuk membuka kepentingan bulan bahasa memastikan khalayak berbilang bangsa dan lapisan kedudukan pangkat, termasuk kumpulan tertinggi pengurusan kementerian hingga ke peringkat kakitangan selain kumpulan khalayak termasuk pensyarah, guru dan murid menyertainya.
“Dengan pembabitan sedemikian barulah bulan ini memberi impak untuk memastikan kepekaan dan kesedaran perlunya peranan masing-masing dalam memartabatkan bahasa dapat dilaksanakan oleh setiap individu.
“Pada tahun ini kita masih mengangkat tema sama iaitu 1 Bahasa, 1 Bangsa dan 1 Negara di mana tiba giliran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) di bawah sektor pendidikan menjadi urus setia sambutan yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pada semalam,” katanya.
Wadah intelektual
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad berkata, MBMMBI perlu dijadikan landasan supaya bahasa Melayu bukan saja menjadi simbol nasionalisme tetapi pada masa sama sebagai wadah intelektual di samping mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terpenting dalam sistem pendidikan.
“Hasil pengauditan kami di enam universiti awam tahun lalu tidak begitu baik dan tidak mencapai sasaran pelan tindakan untuk memastikan pelaksanaan atau penggunaan bahasa Melayu dalam aktiviti penyelidikan, penerbitan dan pengajaran di universiti.
“Sesetengah universiti mungkin ke arah terlalu mengejar ranking dunia sehingga menyebabkan prestasi penggunaan bahasa Melayu dalam pengajian tidak mencapai sasaran dan melebihkan penggunaan bahasa Inggeris,
“Kedua-dua bahasa ini sama penting dalam sistem pendidikan kita di samping bahasa Inggeris kita tidak mahu bahasa Melayu sendiri dipinggirkan.
“Banyak contoh kemajuan menggunakan bahasa pribumi itu bukan mustahil kita boleh lihat di Jepun, Korea, China, Perancis, Jerman mereka masih maju walaupun berbahasa sendiri 100 peratus,” katanya.